14.55
0

  nie Prize dari cari2..pengertian hoki dan hoka..gara2 si menel ngajak taroan...enak aja bangga jadi orang hoki...gw hoka.
sumber :http://www.angelfire.com/on2/Saifulazrulchelah/PENGENALANPEMIKIRAN.html

 Manusia dianugerahkan tuhan dengan akal untuk berfikir, maka dengan menggunakan pemikiran,
manusia boleh merubah alam. Sedikit demi sedikit keadaan dimajukan dari yang baik kepada keadaan yang lebih baik. Bermula dengan keadaan yang primitif dengan tenaga fizikal yang terhad digunakan, dunia ditukar kepada wajah yang ada seperti dilihat sekarang, selari dengan alaf baru, transformasi budaya, persekitaran dan amalan masyarakat bukan berlaku secara sendiri tetapi dengan sengaja.
    Sesungguhnya dengan usaha manusia, dibantu dengan izin-Nya telah memungkinkan keadaan yang terdapat pada hari ini. Alat yang digunakan untuk menghasilkan projek-projek mega ini bukannya besar, hanya sebesar segenggam tangan tetapi kuasa yang dimilikinya amat hebat sehingga dapat merubah dunia. Apakah ia? Itulah otak yang ada pada setiap insan yang bernama manusia.
    Pemikiran adalah sesuatu kuasa yang amat hebat yang ada pada setiap manusia. Dengan menggunakan ia dengan sebaik-baiknya, maka ia akan membawa manusia ke jalan yang bahagia. Tetapi apabila  disalahgunakan,  ia akan menghancurkan manusia itu sendiri.
    Pemikiran sangat sukar untuk ditafsirkan dengan tepat. Perkataan–perkataan yang berkaitan dengan pemikiran seperti fikir, berfikir, memikirkan, dan sebagainya adalah berkaitan dengan akal dan otak manusia.
    Fikir boleh didefinisikan sebagai mempercayai, mempertimbangkan, mengingati atau mengimaginasikan. Berfikir pula dikaitkan dengan  menggunakan akal untuk merancang, menyelesai, membuat keputusan dan seumpama dengannya. Sementara pemikir pula adalah orang yang menggunakan akal untuk merancang, membuat pertimbangan, renungan, angan-angan, imaginasi dan seumpama dengannya untuk mencari jawapan bagi sesuatu persoalan. Oleh itu pemikiran melibatkan proses mempercayai, mengingati, dan menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan seterusnya untuk mendapatkan hasil.
    Dari sudut pandangan umum, pemikiran ditakrifkan sabagai perolahan dan pentafsiran akal untuk menghasilkan sesuatu keputusan. Dalam erti kata lain, pemikiran boleh dilihat sebagai satu proses penggunaan akal atau otak untuk mencari penyelesaian kepada suatu masalah atau mendapatkan jawapan kepada sesuatu persoalan dalam hidup manusia. Pemikiran sebenarnya tidak berlandaskan akal semata-mata, sebaliknya naluri kepercayaan yang ada dalam diri manusia berfungsi dengan lebih ketara.
    Dewey (1993) mentakrifkan pemikiran sebagai perilaku dalam menyelesaikan masalah, sementara Bochenski (1990 : 59) menyatakan bahawa  berfikir adalah setiap perkembangan idea-idea dan konsep yang difikirkan minda. Mohd Micheal Abdullah (1995) mentafsirkan pemikiran sebagai membuat keputusan. Sementara itu  Som Hj. Nor dan Mohd Dahlan  menyatakan pemikiran adalah proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai kepelbagaian kemungkinan, idea, dan membuat pertimbangan yang wajar, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta membuat refleksi dan meta kognitif terhadap proses yang dialami. Sementara itu, Pusat Perkembangan Ko-kurikulum, Kementerian Pendidikan mendefinisikan pemikiran sebagai proses yang kompleks yang berlaku dalam minda seseorang.
Mengapakah pemikiran amat penting dalam diri seseorang? Mengapakah  ia amat penting untuk dipelajari? Hanya satu jawapan umum untuk menjawab soalan-soalan sedemikian. Pemikiranlah yang membezakan manusia dengan kejadian-kejadian  yang lain dimuka bumi ini. Namun dalam  jawapan yang ringkas itu tersirat beberapa sebab yang lebih mendalam, diantaranya ialah  pemikiran adalah penting untuk manusia mendalami alam keseluruhannya dari semua aspek sama ada aspek fizikal, sosial atau spiritual. Selain itu pemikiran juga penting untuk membolehkan manusia menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian mereka. Ia juga penting bagi mencetuskan kemajuan yang selari dengan keperluan yang semakin bertambah  dan semakin berbeza.
    Berdasarkan kepada keupayaannya dalam memahami alam, menyelesaikan masalah dan mencetuskan kemajuan, maka ia amat penting untuk membina kehidupan manusia yang bahagia. Apakah yang perlu difikirkan? Banyak hal yang perlu difikirkan, diantaranya hal-hal yang berkaitan dengan ketaatan iaitu yang berkaitan dengan Yang Maha Esa. Hal-hal yang berkaitan dengan kemaksiatan, muhasabah diri supaya terhindar dari melakukan maksiat. Hal-hal yang berkaitan dengan sifat-sifat yang merosakkan iaitu sifat-sifat yang didorong oleh hawa nafsu yang boleh merosakkan diri dan individu lain. Juga hal-hal yang berkaitan dengan sifat-sifat yang menyelamatlkan seperti bersyukur, ikhlas, takut, merendah diri dan sebaginya. (Imam Al-Ghazali- kitab Mau’izatul Mukmin).
    Diantara jenis-jenis pemikiran yang  dibincangkan terbahagi kepada dua, iaitu pemikiran kreatif dan pemikiran kritis. Pemikiran kreatif  membincangkan bagaimana cara-cara atau teknik-teknik untuk memperluaskan dan memperkembangkan daya imaginasi, inovasi dan kreativiti individu  untuk mendapatkan dan mengumpulkan banyak idea baru dengan dengan menggunakan pelbagai teknik kreatif. (Samsu Yaacub ; 1993:3).  Pemikiran kritis pula membincangkan bagaimana untuk menimbangkan iaitu  samada baik atau buruk terhadap sesuatu perkara dengan teliti dan menggunakan  fakta  samada benar atau salah dan susunan hujah samaada sah atau batal . (Mohd Micheal Abdullah ; 1969:3). Selain itu pemikiran kritis juga  melibatkan proses penganalisaan dan menilai idea atau maklumat untuk kefahaman yang lebih jelas, kukuh dan bermakna. (Samsu Yaacub ; 1996:4).
    Kenapa kita perlu menguasai kemahiran berfikir ?  Menurut  Dr.  Edward De Bono, kebijaksanaan dan kecerdasan yang dimiliki  oleh manusia ditentukan oleh faktor genetik. Ia juga merupakan satu kemahiran yang boleh dipertingkatkan melalui pendidikan, latihan dan pembelajaran. (1997:1). Pemikiran dan kemhiran berfikir amat penting dalam usaha untuk memajukan diri sendiri dan untuk membangunkan masyarakat selaras dengan menuju ke alaf baru serta membuktikan ketamadunan sesebuah  masyarakat itu. Terdapat empat kepentingan menguasai kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK) iaitu untuk memupuk dan mewujudkan pemikiran yang baik dan berkesan selain untuk mengamalkan budaya berfikir secara kreatif dan kritis.  Ia juga untuk mengelakkan kesilapan dalam berfikir dan seterusnya meningkatkan kualiti  dalam berfikir.
    Pemikiran Saintifik pula adalah  sistem pemikiran yang tersusun, sistematik dan berdasarkan kaedah saintifik. “Pemikiran” adalah hasil dari aktiviti otak, akal atau minda. Sementara “Saintifik” pula ialah sistem  atau susunan dalam proses pemikiran. Sebenarnya unsur sains penting dimasukkan  ke dalam pemikiran supaya manusia mampu berfikir secara sistematik agar menjadi lebih kritikal, kreatif, inovatif, dan matang. Orang yang sedemikian senang difahami kerana pemikirannya jelas dan senang pula mengatur langkah-langkahnya. Pembangunan minda manusia perlu berteraskan kepada Sistem Pemikiran Empat L (SP4L) iaitu pemikiran LUHUR, pemikiran LAHIR, pemikiran LATERAL dan pemikiran LOGIK.
    Pemikiran LUHUR adalah sejenis pemikiran yang tinggi martabatnya. Pemikiran jenis ini adalah suci murni berdasarkan kepada ketauhidan, keimanan dan ketaqwaan. Pemikiran jenis ini adalah berkaitan dengan keagamaan yang berhubungkait dengan unsur-unsur ghaib dan ketuhanan.
    Pemikiran LAHIR adalah pemikiran tentang kemampuan manusia berfikir dari peringkat dalam rahim semasa berusia enam hari sehingga berusia enam tahun. Peringkat ini amat penting dalam pembangunan minda manusia.
Pemikiran LOGIK  adalah jenis pemikiran yang berdasarkan ilmu-ilmu pasti, ilmu sains dan ilmu matematik. Pemikiran jenis memerlukan hujah , bukti, fakta, alasan, hujahan dan kebenaran.
    Pemikiran LATERAL pula tidak memerlukan logik, fakta atau kebenaran. Ia lebih mementingkan kepada kreativiti, inovasi, imaginasi, rekaan dan khayalan semata-mata.
    Keempat-empat jenis pemikiran ini boleh dikaitkan melalui gambarajah dibawah
LUHUR



                                              LOGIK    ----------------- LAHIR--------------------- LATERAL
                    (Mohd Yusof Hasan : UUM)

 



    Satu lagi hakikat, minda atau otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera yang berbeza fungsinya (Roger Sperry) :
- “Left Brain Hemisphere” atau Hemisfera Otak Kiri  (HOKI) – kemampuan   dalam bidang sains dan teknologi.
- “Right Brain Hemisphere” atau Hemisfera Otak Kanan (HOKA) – kemampuan dalam kreativiti, inovasi dan sastera.
SP4L yang dijelaskan diatas boleh diletakkan bersama HOKA dan HOKI seperti gambarajah dibawah :
LUHUR
                                                                         HOKI    -------------------  HOKA


           LOGIK  --------------- LAHIR------------------- LATERAL
 
                                                                                                                       (Mohd.Yusof Hasan : UUM)
 
      Seorang manusia mestilah mempunyai keempat-empat jenis pemikiran tersebut. Ini bererti seseorang  manusia itu mempunyai kepercayaan agama , mempunyai kapasiti minda tersendiri, kemampuan pemikiran logik dan kemampuan pemikiran lateral. Kemampuan keempat-empat jenis pemikiran tersebut bergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang lemah pemikiran luhur tetapi lebih kuat kepada pemikiran-pemikiran yang lain. Ada pula yang kuat dalam pemikiran lahir dan luhur tetapi lemah dalam pemikiran logik dan lateral. Ada juga yang lemah dalam semua jenis pemikiran dan ada juga yang hanya kuat dan cerdas dalam corak pemikiran logik. Ada sesetengah yang kuat  keempat-empat pemikirannya dan golongan ini merupakan golongan yang paling sukar untuk ditemui.
    Pemikiran Luhur  juga adalah pemikiran yang berhubung dengan kepercayaan kepada yang ghaib, iaitu kepada Khaliq, Maha Pencipta iaitu Allah Subhanahuwataala. Pemikiran ini adalah pemikiran keimanan, ketauhidan dan kewahyuan. Dalam pemikiran ini kita tidak boleh meminta sebarang bukti, hujah atau rasional kerana ia semata-mata berunsur transendental bukan omniscient. Terdapat pelbagai ilmu yang membicarakan unsur-unsur keluhuran ini seperti Ilmu Tauhid, Ilmu Ussuluddin, Ilmu Fekah dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini digolongkan sebagai ilmu wahyu atau “revealed knowledge”. Ilmu-ilmu ini adalah bertujuan menyempurnakan tugas manusia sebagai hamba, iaitu hubungan manusia sebagai makhluk dengan Allah sebagi Khaliq. Ilimu-ilmu ini adalah bertujuan untuk menyempurnakan Ilmu Fardhu Ain.
    Sementara pemikiran lahir, logik dan lateral adalah untuk manusia menjalankan peranannya sebagai khalifah dimuka bumi ini. Ia berperanan menjalankan fardu kifayah untuk kesejahteraan ummah. Pemikiran Lahir adalah mengandungi ilmu-ilmu tentang proses kelahiran serta proses pembentukan mental, jasmani dan otak. Ilmu-ilmu yang tergolong dalam pemikiran lahir ini adalah seperti ilmu kesihatan, ilmu perubatan dan ilmu psikologi.
    Pemikiran Logik atau mantiq pula adalah  mengandungi ilmu-ilmu yang berhubung dengan sains dan ilmu pasti. Ilmu-ilmu yang tergolong dalam pemikiran ini adalah seperti ilmu matematik, ilmu sains, ilmu astronomi, ilmu undang-undang, ilmu statistik, ilmu kejuruteraan dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini ternasuk dalam bidang atau jurusan sains.
    Pemikiran lateral adalah jenis pemikiran yang berdasarkan jurasan atau bidang sastera. Ia adalah pemikiran lama tetapi baru diperkenalkan. Pemikiran ini adalah jenis pemikiran imaginatif, kreatif dan inovatif untuk mernyelesaikan masalah manusia dan unutk mengambil keputsan dalam kehidupan seharian manusia. Ilmu-ilmu yang terdapat dalam pemikiran ini adalah seperti ilmu kesusasteraan, ilmu sejarah, ilmu geografi, ilmu ekonomi, ilmu sosiologi dan sebagainya.
    Ketiga-tiga jenis pemikiran dan ilmu ini tergolong  dalam ilmu-ilmu yang diperolehi dikalangan manusia yang juga dikenali sebagai “acquired knowledge” atau ilmu sesama manusia yang juga dikenali dengan ilmu aqli. Oleh itu ilmu wahyu atau “revealed knowledge” tadi dikenali sebagai ilmu naqli.
    Dengan memiliki keempat-empat bentuk pemikiran ini bersama denagn ilmu yang berkaitan dengannya, manusia menjadi makhluk yang sempurna. Manusia menjadi lengkap sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah sesama manusia. Peranan manusia ini akan mlahirkan kesejahteraan sesama manusia itu sendiri. Dari pemikiran luhur, lahir sifat-sifat ketaqwaan, keimanan dan kekudusan kepada Allah S.W.T.  Dari pemikiran-pemikiran lahir, logik dan lateral akan hadir sifat-sifat insani yang tebal dikalangan bangsa-bangsa di dunia ini. Pemikiran 4L ini perlu dipupuk dan dibajai dalam setiap diri manusia bagi melahirkan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.
    Matematik pula merupakan satu komponen penting dalam kehidupan manusia moden kini. Ia dahulunya menjadi suatu topik yang seakan-akan dipinggirkan oleh masyarakat tetapi kini ia telah menjadi satu topik yang semakin menarik minat masyarakat kerana dalam dunia kini matematik telah menjadi suatu wadah yang menyumbang ke arah kesejagatan hidup manusia.
    Matematik merupakan mainan harian kita tanpa kita sedari. Ini adalah hakikat yang tidak dapat kita nafikan kerana terlalu banyak bukti yang memaparkan kenyataan tersebut. Contohnya apabila kita bangun pada pagi hari pertama sekali kita akan melihat jam dan mengira kedudukan bilah-bilah jam untuk mengetahui waktu. Iru baru perkara yang kita lakukan ketika baru bangun dari tidur tidak termasuk lagi perkara-perkara lain seperti membayar wang minyak kenderaan, menerima wang gaji bulanan mengira mata permainan jika kita sedang bermain dan banyak lagi. Hal ini membayangkan dengan jelas akan kepentingan matematik dalam kehidupan kita sebagai dan seorang manusia kita tidak terlepas daripada berhadapan dengan semua ini.
    Kepentingan matematik amat nyata kerana kekuatan dan keutuhan sesuatu tamadun atau teknologi amat bergantung kepada matematik. Ini kerana melalui matematik penguasaan teknologi akan dapat dicapai kerana matematik dianggap sebagai teras kepada keutuhan teknologi.
    Justeru dalam kajian ini, kami akan cuba memberikan satu gambaran tentang kaitan pendidikan matematik dengan sistem pemikiran 4L agar ia dapat dimanfaatkan oleh pelbagai golongan terutamanya pengkaji corak pendidikan dan ibu bapa. Ini penting kerana untuk mencapai hasrat wawasan 2020 yang telah diilhamkan oleh YAB Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohammad, kita amat memerlukan penguasaan matematik untuk mencapai sasaran tersebut.
    Penguasaan matematik bukanlah merupakan suatu penguasaan yang sia-sia. Aplikasi serta peranannya dalam dunia pasca industri amat jelas menyerlahkan semua ini. Ia merupakan suatu proses berterusan untuk membentuk suatu kekuatan teknologi yang benar-benar utuh.
    Melihatkan trend terkini kami amat berkeyakinan bahawa masyarakat kita kini amat memandang negatif terhadap corak pendidikan matematik kerana masih ramai yang beranggapan bahawa pendidikan matematik merupakan suatu cabang yang teramat sukar dan terlalu tinggi nilai intelek yang diperlukan. Kita tidak dapat nafikan bahawa nilai keintelektualan untuk mendalami bidang matematik sememangnya amat tinggi tetapi kita juga harus mengakui bahawa ia bukanlah suatu beban jika dipandang dari sudut positif dan inilah yang kami akan cuba bawakan dalam buku ini kerana rata-rata masyarakat kita mash lagi mempunyai rasa fobia terhadap matematik.
    Ibu bapa terutamanya amat berharap agar anak-anak mereka dapat menguasai bidang ilmu ini tetapi suasana pemikiran dan sekeling yang dibina oleh mereka sebenarnyalah yang menghalang proses pendidikan matematik terhadap anak-anak mereka selain kaedah pendidikan yang tidak betul. Ini hanya kan membantutkan potensi anak remaja mereka untuk menguasai bidang yang penuh dengan keseronokan ini jika dihayati dengan rasa penuh penghayatan dan rasa penuh ketaakulan.
    Tamadun Barat jelas mendahului kita ketika ini dalam bidang matematik dan ini merupakan satu tugas yang amat berat kepada kita untuk menyaingi Barat. Mereka juga merupakan insan yang sama seperti kita tetapi mengapa mereka lebih jauh terkedepan daripada kita? Inilah persoalan yang perlu kita kupas, hurai dan jawab. Jawapannya ialah kerana kita tidak menggunakan sepenuhnya sistem pemikiran 4L ini berbanding dengan mereka yang telah lama berusaha bersusah payah cuba mencari dalam cara-cara berfikir.
    Barat amat konsisten dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan ilmiah terutamanya matematik kerana mereka benar-benar menyedari akan kepentingan bidang ini dalam hidup mereka.Kami bukanlah berhajat untuk mengagungkan Barat tetapi sesuatu yang baik harus kita pelajari, ikuti dan contohi. Barat bukanlah terlalu unggul kerana hakikatnya mereka telah mengeksploitasi keagungan Tamadun Islam.
    Jika ditinjau dari aspek sejarah apa yang pasti ialah sains Islam mula subur berkembang pada kurun ketujuh lagi sedangkan sains barat hanya mula berkembang pada kurun yang keenam belas dan pada kurun yang ketujuh belas. Ini jelas menunjukkan bahawa Tamadun Islam telah mendahului Tamadun Barat hampr satu alaf lamanya. Tetapi apa yang perlu kami tegaskan di sini ialah masyarakat Barat sentiasa bekerja keras dan menggunakan sepenuhnya apa yang ada di sekeliling mereka. Mereka menggunakan sepenuhnya sistem pemikiran 4L dan akhirnya mereka berjaya menguasai dunia matematik.
    Kewujudan ahli matematik Islam seperti Al-Khawarizmi dan Al-Jabar serta banyak lagi merupakan satu bukti yang menunjukkan bahawa Islamlah yang membawa sistem pemikiran 4L yang membolehkan umatnya berjaya menghasilkan kegemilangan dalam dunia matematik. Barat cuma meneruskan usaha yang dipelopori oleh Tamadun Islam kerana mereka benar-benar menggunakan sistem pemikiran 4L sepenuhnya.
    Kami amat menyedari bahawa salah satu faktor yang mempengaruhi ialah cara hidup atau budaya sesuatu kaum. Contohnya masyarakat Arab yang terkenal dengan sifatnya suka bermain teka-teki dan masyarakat Cina yang suka berniaga. Ini dapat membina suatu corak pemikiran yang dapat menyelesaikan masalah matematik dan seterusnya menguasai bidang ini tetapi apa yang perlu diakui ialah corak pemikiranlah yang mempengaruhi corak hidup atau budaya sesuatu kaum. Ini bermakna corak pemikiran merupakan elemen terpenting dalam proses penguassan ilmu matematik.
    Bagaimana hendak membentuk budaya unggul matematik dalam diri manusia adalah bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana kita menggunakan pemikiran kita sebagai pencetus kepada penguasaan bidang matematik ini. Matematik merupakan suatu komponen yang amat penting masa kini dan kami akan menghuraikan satu per satu kaitan pendidikan matematik dan kaitannya dengan sistem pemikiran 4L dalam bab-bab yang akan datang agar dapat menjadi panduan buat semua. Sesungguhnya sistem pemikiran 4L dan matematik mempunyai satu jalinan yang amat rapat dan harus diterokai bersama untuk membentuk suasana yang lebih baik.
    Jika dilihat dari perspektif Malaysia, amat jelas bahawa masyarakat Malaysia masih lagi tidak menggunakan sepenuhnya sistem pemikiran 4L. Justeru tidak hairanlah jika negara masih lagi kekurangan tenaga-tenaga baru dalam bidang sains dan teknologi kerana jika ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya adalah amat merugikan negara.
    Atas dasar itu kami akan cuba memberi sedikit gambaran tentang kekuatan dan cara bagaimana sistem pemikiran 4L ini dapat diaplikasikan dengan jayanya. Kami akan menerangkan secara ringkas tentang apakah itu pemikiran lahir, luhur, logik dan lateral, kemudian akan kami persembahkan pula kaitannya dengan pendidikan matematik, strategi pengajaran dan cara bagaimana hendak meningkatkan dan memantapkan teknik pembelajaran matematik dengan menggunakan sistem pemikiran 4L.
    Kami amat yakin bahawa masih ramai lagi masyarakat kita yang tidak mengetahui apakah itu sistem 4L apatah lagi kaitannya dengan pendidikan matematik. Justeru inilah yang akan kami persembahkan dalam topik-topik berikutnya agar dapat menjadi panduan dan iktibar buat semua. Semoga ia akan menjadi sesuatu yang bermanfaat buat semua terutamanya buat pihak yang terlibat secara langsung dalam pendidikan matematik.
Comments
0 Comments

0 comments:

Posting Komentar